Tuesday, January 25, 2011

Ambulans tak kunjung tiba

SAYA ingin meluahkan kekesalan dengan sikap Bahagian Kecemasan Hospital Kuala Kangsar, Perak.

Pada Sabtu 22 Januari 2011 pukul 7.45 pagi jiran saya memanggil saya dan keluarga untuk membantu suaminya yang terkena serangan jantung. Isterinya meminta saya mendapatkan bantuan ambulans daripada Hospital Kuala Kangsar yang jarak perjalanan tidak sampai 15 minit sahaja ke kediaman kami di Bukit Chandan.

Saya membuat panggilan pertama pada 7.50 pagi dan meminta supaya dihantar ambulans pada kadar segera. Ketika itu pesakit tidak menunjukkan sebarang tanda kritikal. Sehingga pukul 8.10 minit ambulans masih tidak sampai. Pada masa itu pesakit sudah berada dalam keadaan kritikal atau nazak.
Saya membuat panggilan kedua pada pukul 8.12 pagi. Alasan paling menyakitkan hati saya dengar ialah "Ambulans sedang diisi minyak. Maaf sekiranya lambat."
Kira-kira pukul 8.15 pagi pesakit tadi sudah tidak bergerak dan telah pun meninggal dunia. Panggilan ketiga saya buat pada pukul 8.20 pagi untuk memberitahu yang pesakit sudah meninggal dan ambulans masih belum sampai.
Kali ini alasan yang saya terima pula ialah "Saya baru dapat panggilan dari Encik pukul 8.12 pagi (sedangkan itu panggilan kedua saya). Maaf ambulans tadi tiada minyak."
Ambulans sampai kira-kira pukul 8.25 pagi. Pegawai yang memeriksa hanya mengatakan pesakit sudah tiada dan itu semua kerja Tuhan.
Fikirkanlah, pihak hospital sangat cuai dengan membiarkan ambulans tanpa minyak. Alasan-alasan yang diberikan sangat tidak masuk akal.
Saya tahu ajal maut di tangan Tuhan. Tetapi sekurang kurangnya kita cuba sedaya upaya berusaha untuk menyelamatkan nyawa pesakit itu.
Saya minta pihak berkenaan seperti pengarah hospital, Jabatan Kesihatan Negeri atau daerah, tolong ambil berat masalah ini.
Jangan sudah terkena kepada ahli keluarga sendiri baru hendak ambil tindakan.
Hospital bekerja dalam tiga syif dan difahamkan Hospital Kuala Kangsar ada lebih daripada empat ambulans. Takkan semua tidak ada minyak.
Ini perkara yang sangat memalukan memandangkan Kuala Kangsar adalah Bandar Diraja. Saya harap perkara ini tidak berulang. Pengarah hospital tolong turun padang lihat anak buah anda bekerja.
Memang perkara ini kecil bagi pengarah-pengarah semua, tetapi besar pada kami yang pentingkan nyawa.
SHAHRUL,
Kuala Kangsar, Perak

sumber (utusan malaysia, 26 jan.2011)

No comments:

Post a Comment